TIAN CHUA

Hakim Datuk Nordin Hassan memutuskan demikian selepas membenarkan bantahan awal Peguam Kanan Persekutuan yang mewakili Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Anwar Mohd. Zain, 56, dan SPR selaku responden pertama dan kedua.

Penyandang kerusi Parlimen Batu selama dua penggal itu memfailkan saman berkenaan terhadap kedua-dua responden bagi menuntut perisytiharan beliau layak untuk bertanding dan menjadi calon kerusi Parlimen ber­kenaan pada PRU-14 kali ini.

Hakim Nordin dalam keputusannya berkata, Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan Tian Chua yang mencabar keputusan Pegawai Pengurus Pilihan Raya ekoran menolak kertas penamaannya ketika hari penamaan calon pada 28 April lalu.

Beliau berkata, permohonan melibatkan sesuatu proses pilihan raya perlu dikemukakan melalui petisyen pilihan raya dan dide­ngar oleh Hakim Pilihan Raya seperti yang diperuntukkan mengikut Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan.

Tian Chua selaku pemohon, menurut hakim itu sepatutnya memfailkan petisyen pilihan raya dan bukannya mengemukakan saman pemula.

“Dalam kes ini, penamaan calon merupakan salah satu proses pilihan raya seperti yang tertakluk di bawah Peraturan 4, 6, 7 dan 8 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya 1981.

“Berdasarkan Per­kara 118 Perlembagaan Persekutuan, petisyen pilihan raya merupakan satu-satunya cara untuk menyelesaikan pertikaian berkaitan proses pilihan raya,” katanya.

Malah, menurut hakim itu, beliau juga tidak mempunyai bi­dang kuasa untuk menentukan sama ada sah atau tidak tindakan yang dibuat oleh SPR yang menolak pencalonan pemohon.

“Sehubungan itu, saya juga tidak boleh membuat sebarang perisytiharan seperti yang dimohon oleh pemohon,” ujarnya.

Dalam saman pemula yang difailkan Isnin lalu, Tian Chua memohon perisytiharan bahawa beliau layak menjadi calon dalam PRU-14 mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan dan di sisi undang-undang selain perisytiharan berhak untuk bertan­ding dan diterima sebagai calon.

Saman itu dikemukakan atas alasan telah termaktub dalam undang-undang bahawa denda RM2,000 tidak akan menjejaskan hak atau status atau membuat hilang kelayakan pemohon sebagai ahli Parlimen.

Ini kerana, pada PRU-13, beliau mendakwa, dokumen penamaan calonnya diterima sekali gus dibenarkan bertanding walaupun didenda RM2,000 kerana mencederakan anggota polis pada 2007 dan semenjak itu pemohon mendakwa terus menjalankan tugas sebagai ahli Parlimen.