Peguam Kanan Persekutuan, Maisarah Juhari yang mewakili JKDM dan Kementerian Kewangan memberitahu pemberita, saman Asia Kitchen Sdn. Bhd. dibatalkan selepas Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Roslan Abu Bakar membenarkan permohonan pihaknya. 

Menurut Maisarah, pihaknya yang dinamakan sebagai  defendan pertama dan kedua memohon supaya writ saman dan pernyataan tuntutan Asia Kitchen selaku pihak plaintif dibatalkan atas alasan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ke atas buah kurma kering adalah suatu polisi kerajaan yang tidak boleh diadili oleh mahkamah. 

Saman itu dibatalkan dengan kos RM10,000.

Dalam saman yang difailkan pada 17 Jun 2016, Asia Kitchen menuntut supaya pihak defendan memberikan alasan atau justifikasi ke atas GST yang dikenakan bagi kurma kering itu.

Pihak plaintif selain itu menyatakan, tindakan pihak defendan adalah  suatu ketidakadilan dan penganiayaan yang menyusahkan bukan sahaja kepada  plaintif bahkan  kepada pihak lain yang terpaksa menanggung bebanan kos sara hidup yang tinggi.

Asia Kitchen  turut memohon perintah supaya produk-produk asas dan perkhidmatan asas dikecualikan daripada dikenakan GST dan perintah bahawa kurma kering adalah makanan sunah orang Islam dikecualikan daripada dikenakan cukai berkenaan.        
    
Syarikat terbabit juga memohon perintah bahawa senarai buah-buahan dan sayur-sayuran, senarai barang bercukai dan tidak bercukai edisi ketiga dipinda dan kurma kering tidak dikenakan GST sama seperti kurma basah. - UTUSAN ONLINE