Penghakiman Hakim Datuk Rosnaini Saub itu dibacakan oleh Penolong Kanan Pendaftar, Ery Shariman Nor Aripin.

Dalam penghakimannya, hakim itu berkata, sebagai artis, plaintif perlu terbuka menerima kritikan kerana apa yang sahaja yang dilakukan sebagai selebriti akan mendapat perhatian masyarakat.

Hakim itu menolak tuntutan Shila setelah berpendapat, pembelaan UMMB bahawa artikel tersebut merupakan ulasan yang saksama dan perlindungan bersyarat adalah terpakai terhadap syarikat akhbar tersebut kerana artikel berkenaan ditulis tanpa niat jahat.

Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah dan syarikatnya, Shila Amzah Entertainment Bhd. selaku pihak plaintif memfailkan saman pada 16 Januari 2015 dengan menamakan wartawan hiburan akhbar Kosmo! Maliah Surip, pengarang akhbar itu dan penerbit akhbar berkenaan Utusan
Melayu (M) Bhd. (UMMB) sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Dalam pernyataan tuntutan terpinda bertarikh 16 Januari 2015, pihak plaintif mendakwa, konsert Shila pada 13 September 2014 diadakan bersama  penganjuran oleh Mega Ultimate Sdn. Bhd. dengan syarikat plaintif kedua dan tidak pernah menerima sebarang tajaan wang daripada syarikat perjudian itu seperti yang didakwa oleh pihak defendan.

Pihak plaintif menyatakan, beliau seorang profesional dalam kerjayanya sebagai artis dan matang dalam segala tindakan serta kelakuannya, mudah didekati peminat di negara ini, China dan arena antarabangsa.

Artikel tersebut dakwa pihak plaintif, diterbitkan defendan kedua atas niat jahat untuk memburukkan dan merendahkan reputasi dirinya dan syarikatnya di peringkat antarabangsa.

Ekoran penyiaran artikel bertarikh 17 September 2014, pihak plaintif mendakwa,  reputasinya terjejas.

UMMB  menggunapakai pembelaan ulasan saksama dan perlindungan bersyarat. - UTUSAN ONLINE