Peguam Amira Farhana Mohd. Yasin yang mewakili Neelofa memberitahu pemberita, perintah penghakiman persetujuan itu direkodkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Daryl Goon Siew Chye di kamar hakim tanpa sebarang perintah mengenai kos.

Menurutnya terma-terma penyelesaian itu bagaimanapun tidak dapat didedahkan.

Perkara itu disahkan oleh peguam Aiman Ariff Abdul Azij yang mewakili Oh My Media Sdn. Bhd.

Neelofa dan wakil Oh My Media, tidak hadir ketika penyelesaian itu direkodkan.

Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd. Noor, 29, memfailkan saman itu pada April lalu, berhubung artikel bertajuk, Bukan idola terbaik buat semua, nama Neelofa digugurkan dari senarai Anugerah Ikon Wanita disiarkan pada 5 Mac lalu dan beberapa siri artikel lain tanpa memberi peluang kepadanya untuk membuat penafian.

Dalam pernyataan tuntutan terpinda bertarikh 20 September lalu, Neelofa yang juga Pengarah Naelofar Hijab itu selaku pihak plaintif mendakwa Oh My Media Sdn. Bhd. yang dinamakan sebagai pihak defendan telah menyiarkan pernyataan berbaur fitnah terhadapnya di www.ohmymedia.cc.

Artikel bertajuk, Bukan idola terbaik buat semua, nama Neelofa digugurkan dari senarai Anugerah Ikon Wanita disiarkan pada 5 Mac lalu dan beberapa siri artikel lain tanpa memberi peluang kepadanya untuk membuat penafian.

Pihak plaintif menuntut perintah injunksi, permohonan maaf, ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi keterlaluan daripada pihak defendan.

Dalam pernyataan pembelaan terpinda bertarikh 15 Oktober lalu, Oh My Media menyatakan, mereka tidak pernah mengesahkan, pihak plaintif telah digugurkan daripada senarai penerima Anugerah Ikon Wanita.

Tambahan pula menurut pihak defendan, pada 6 Mac lalu mereka telah menyiarkan artikel bertajuk, Terlalu banyak sumbangan yang diraih, Neelofa kekal sebagai ikon wanita negara, yang sama sekali menafikan segala dakwaan yang mengatakan pihak plaintif telah digugurkan daripada senarai tersebut.

Pihak plaintif menuntut perintah injunksi, permohonan maaf, ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi keterlaluan daripada pihak defendan. - UTUSAN ONLINE