Mustafa Kamal yang merupakan calon Parti Berjasa di DUN Sungai Manik, Perak memfailkan saman fitnah tersebut pada 2 November 2015 dengan menamakan Abdul Fatah dan Angkasa sebagai defendan pertama dan kedua.

Kenyataan yang dikatakan telah memfitnahnya telah diterbitkan dalam majalah badan itu, Majalah Pelancar edisi November 2015 dan turut disiarkan di beberapa akhbar utama.

Menurut peguam, Datuk Abd. Shukor Ahmad yang mewakili Abdul Fattah yang dinamakan sebagai pihak defendan ketika dihubungi berkata, Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Faizah Jamaludin turut memerintahkan Mustafa Kamal untuk membayar kos sebanyak RM20,000.

Peguam itu menjelaskan, mahkamah mendapati Mustafa Kamal selaku pihak plaintif gagal membuktikan bekas Presiden Angkasa Profesor Datuk Dr. Mohd. Ali Baharum telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya dalam sidang media sekitar November 2010.

“Plaintif gagal menunjukkan bahawa kata-katanya yang dikatakan fitnah benar-benar diucapkan oleh Mohd. Ali. Plaintif juga gagal menunjukkan penglibatan Abdul Fattah dalam sidang media tersebut,” katanya.

Selain itu, Abd. Shukor turut menyatakan, elemen perlindungan bersyarat oleh Angkasa boleh digunakan kerana menjadi tanggungjawab badan itu untuk memberi maklum balas mengenai isu yang berlaku pada ketika itu.

Sementara itu Abdul Fattah ketika dihubungi menyatakan rasa syukurnya terhadap keputusan mahkamah hari ini.

“Keputusan hari ini membuktikan tindakan Angkasa dalam menjaga integriti dan disiplin badan itu adalah betul,” katanya. - UTUSAN ONLINE