Penyataan pembelaan itu adalah berkaitan saman menuntut ganti rugi sebanyak RM514 juta yang difailkan FGV terhadap Mohd. Isa serta 13 yang lain berhubung perolehan Asia Plantation Ltd. (APL) pada tahun 2014.

Perkara tersebut dimaklum­kan oleh peguam Lavinia Kumaraendran yang mewakili Mohd. Isa kepada pemberita selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar, Farah Shuhada Ramli.

Menurut Lavinia, kes berke­naan juga ditetapkan untuk pengurusan selanjutnya pada 12 Februari depan di hadapan Hakim Datuk Azimah Omar.

“Pihak FGV telah memfailkan saman pada 23 November lalu. Sehingga kini, terdapat lima defendan yang masih menerima tuntutan saman berke­naan,” katanya.

Selain Mohd Isa, individu lain yang perlu memfailkan pembe­laan adalah bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Datuk Mohd. Emir Mavani Abdullah; bekas Pengurus Besar Kanan Kluster Hiliran, Rasydan Alias Mohamed dan bekas Ketua Pegawai Kewangan, Ahmad Tifli Mohd. Talha.

Turut terlibat ialah lima bekas Pengarah Bukan Eksekutif FGV iaitu Tan Sri Ismee Ismail; Tan Sri Wan Aziz Wan Abdullah; Tan Sri Sulaiman Mahbob; Datuk Nozirah Bahari dan Datuk Fazlur Rahman Ebrahim.

Mereka yang masih belum menerima saman tersebut adalah bekas Naib Presiden Pembangunan Perniagaan Kluster Hiliran, Farisan Mokhtar dan tiga bekas Pengarah Bukan Eksekutif FGV iaitu Datuk Omar Salim, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd. Harun Narrashid, Datuk Yahaya Abd Jabar dan Datuk Faizoull Ahmad.

Menurut kenyataan syarikat itu kepada Bursa Malaysia, tindakan undang-undang tersebut diambil berikutan kerugian dialami akibat daripada kegagalan mereka melaksanakan kewajipan dan tanggungjawab masing-masing serta kesetiaan atau kewajipan untuk melakukan penjagaan, kemahiran dan ketekunan yang munasabah.

Tambah kenyataan itu, saman tersebut adalah berkenaan dengan pengambilalihan 100 peratus kepentingan ekuiti dalam APL melalui tawaran tunai bersyarat sukarela pada tahun 2014.