Peguam Wan Azmir Wan Majid yang mewakili UMMB memberi­tahu pemberita, Pesuruhjaya Kehakiman, Roslan Abu Bakar merekodkan penghakiman persetujuan itu di kamar hakim di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Menurutnya, syarikat akhbar itu akan menyiarkan kenyataan penyelesaian itu dalam tempoh tujuh hari dari tarikh penghakiman persetujuan direkodkan.

Peguam Latheefa Koya yang mewakili Anwar berkata, penghakiman persetujuan itu dicapai antara pihak-pihak berdasarkan pertimbangan persetujuan kes terdahulu (kenyataan penyelesaian).

“Iaitu, Nallakaruppan telah menjelaskan pertuduhan beliau (Nallakaruppan). Penyelesaian dicapai secara muktamad,” kata Latheefa.

Anwar selaku pihak plaintif memfailkan saman itu pada 26 Mac 2012 dengan menamakan Nallakaruppan yang juga Presi­den Parti Bersatu India Malaysia (MIUP), UMMB dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Saman itu berhubung petikan ringkas yang disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia pada 20 Mac 2012 di muka surat hadapan bertajuk Anwar biseksual, tak boleh jadi Ketua Pembangkang - Nalla dan berita penuh di muka surat enam bertajuk, Nallakaruppan tuduh Anwar biseksual.

Perkataan itu menurut plaintif antaranya membawa maksud, beliau tidak layak memegang jawatan sebagai Ketua Pembangkang di Malaysia, seorang pemimpin Muslim yang berkelakuan tidak selari dengan ajaran Islam dan rendah moral.

Akibatnya, dakwa plaintif, re­­­pu­tasi serta kedudukannya terjejas dan terpaksa menanggung malu.

Selain ganti rugi RM100 juta dan ganti rugi teruk serta te­ladan, Anwar menuntut perintah injunksi untuk menghalang Nallakaruppan dan UMMB daripada menerbitkan semula perkataan fitnah itu.

Bekas Pengarah Eksekutif Magnum Corporation Bhd. (Magnum) itu diwakili peguam Sarah Abishegam.