Beliau memberi­tahu Mahka­mah Majistret di sini hari ini, sehari selepas gambar kenderaan Inspira hi­tam yang digunakannya dirakam oleh anggota penguat kuasa, gambar tersebut tular di laman sosial Facebook.

“Saya terkejut menerima saman atas kesalahan memandu di lorong kecemasan kerana pegawai penyiasat sudah mengesyorkan supaya tiada tindakan diambil terhadap saya,’’ ujarnya ketika memberi keterangan membela diri atas tuduhan tersebut.

Yusoff yang dipindahkan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebagai pegawai tadbir dan diplomatik (PTD), didakwa melakukan kesalahan itu ketika memandu kenderaan bernombor pendaftaran BLY 68 di Lingkaran Putrajaya pada pukul 6.27 petang, 7 Oktober tahun lalu.

Ketika disoal oleh peguam Datuk Baljit Singh Sidhu yang mewakilinya, Yusoff menjelaskan, beliau memandu di lorong kecemasan untuk melakukan pemantauan selepas mendapati kesesakan luar biasa bermula dari susur keluar di Cyberjaya hingga ke Plaza Tol Putrajaya.

Beliau yang ketika itu dalam perjalanan ke Shah Alam mendapati, anggota penguat kuasa JPJ meletakkan kenderaan di bahu jalan dan melakukan operasi aduan bergambar sedangkan di tempat itu operasi tidak sesuai dijalankan.

Yusoff menjelaskan, kendera­an tersebut tidak sesuai diletakkan di situ kerana terdapat pusi­ngan ‘U’ dan kawasan lencongan manakala tapak pembinaan menambah lagi kesesakan lalu lintas terutama pada waktu puncak.

“Saya tidak berhenti untuk bertanya kedua-dua anggota itu mengapa operasi dilakukan di situ kerana jika saya berbuat demikian, kesesakan akan menjadi semakin teruk,’’ ujarnya.

Menurut Yusoff, beliau selanjutnya meneruskan perjalanan ke plaza tol sebelum berhenti di tepi jalan dan menghantar pesanan Whats­App kepada kumpulan pegawai kanan JPJ dan bertanyakan mengapa operasi dilakukan di situ sedangkan beliau tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan.

Sewaktu disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Izzat Fauzan, saksi pembelaan pertama itu bersetuju bahawa ada kalanya arahan operasi dikeluarkan secara lisan.

Yusoff bagaimanapun tidak bersetuju bahawa selaku pegawai kanan JPJ, beliau tiada kuasa memandu di lorong kecemasan sebaliknya menjelaskan dia dibenarkan berbuat demikian jika sedang melakukan pemantauan.

Selepas selesai mendengar keterangan saksi pembelaan ke­dua, Ketua Bahagian Penguatkuasaan JPJ Kuala Lumpur, Adenan Md. Isa dan penghujahan pihak pembelaan dan pendakwaan, Majistret Muhammad Zaki Abd. Kudos kemudian menetapkan 16 Oktober ini bagi keputusan.