Begitulah perasaan seorang pegawai bank yang ingin dikenali sebagai Shirley Lau apabila dia dan keluarga baru sahaja membeli sebuah rumah. Dia dan suaminya sudah merancang untuk mengubah suai rumah tersebut mengikut cita rasa mereka.

Kebetulan pada 9 April lalu, satu Pameran Hiasan Rumah diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan terbuka kepada orang ramai untuk memperoleh pelbagai tawaran untuk kelengkapan, perhiasan bagi rumah mereka dengan harga berpatutan.

Perkara ini seperti ‘pucuk dicita, ulam mendatang’ bagi ibu kepada tiga anak itu kerana dia sememangnya sudah tidak sabar untuk ke sana bagi membeli kelengkapan rumah untuk kediaman baharunya.

Wanita itu dan suaminya merancang untuk membeli langsir bagi kediaman baharu mereka dan akhirnya terpikat dengan satu tawaran daripada sebuah syarikat. Persetujuan telah dibuat dan kakitangan syarikat berkenaan telah datang ke rumahnya bagi mengambil ukuran di ruang tamu, bilik tidur utama dan bilik tidur bagi tiga anaknya.

Setelah kakitangan syarikat tersebut membuat ukuran, wanita berkenaan terkejut kerana harga yang diberitahu ternyata begitu mahal dan berbeza dengan harga yang ditawarkan, malah yang lebih dikesalkan lagi pekerja syarikat terbabit melakukan kesilapan daripada sudut pengiraan ukuran.

Dia telah memaklumkan bahawa ukuran dan harga yang diberitahu itu mempunyai kesilapan, namun pekerja tersebut seolah-olah tidak mempedulikannya. Atas kesilapan itu, Shirley mengambil keputusan untuk meninjau dan berjumpa beberapa pemilik kedai langsir lain untuk membandingkan harga dan ternyata mempunyai perbezaan yang begitu ketara.

Disebabkan itu, dia bertindak untuk membatalkan tempahan kerana merasakan dirinya sudah ditipu dan tidak dilayan dengan baik oleh pekerja syarikat tersebut. Shirley merasakan dia tidak perlu membayar lebih atas kesilapan yang dilakukan oleh pekerja terbabit.

Dia dimaklumkan bahawa sekiranya ingin membatalkan tempahan, wanita itu perlu membayar RM200 untuk proses pembatalan tempahan, namun Shirley enggan membayar wang yang diminta oleh syarikat tersebut.

Ekoran kesilapan yang dibuat, dia bertekad untuk membatalkan tempahan dan meminta syarikat yang beroperasi di Petaling Jaya itu mengembalikan wang deposit RM3,000 yang telah dibayarnya.

Kesal dengan apa yang berlaku, wanita itu membuat tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) yang terletak di tingkat 16, Sunway Putra Mall di ibu negara, baru-baru ini.

Syarikat itu selaku pihak penentang turut hadir di prosiding berkenaan dan Presiden TTPM, Siti Naaishah Hambali telah mengeluarkan perintah mengarahkan syarikat berkenaan membayar balik keseluruhan wang deposit RM3,000 kepada wanita tersebut dalam tempoh 14 hari dari tarikh perintah diserahkan.