Malah, peguam bela, S. Selvi yang mewakili tertuduh warga Indonesia, Siti Aisyah dan turut berada di dalam makmal sewaktu proses pengecaman itu juga dilihat agak keletihan ketika ditemui selepas tamat prosiding tersebut.

“Bilik makmal itu kecil sahaja. Keadaan di dalamnya panas dan berkuap. Memang agak memenatkan selepas hampir sejam se­tengah di dalamnya,” ujar Selvi.

Sementara itu, Ketua Unit Bi­cara dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara, Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika dihubungi membe­ritahu, ekoran keadaan saksi yang tidak sihat, Hakim Datuk Azmi Ariffin membenarkan perbi­caraan kes itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam yang dijadualkan pada se­belah petang ditangguhkan.

“Pengecaman barang kes dilakukan dalam sebuah bilik yang di dalamnya terdapat makmal khas. Di dalam makmal, hanya Dr. Ra­ja, tertuduh kedua, Doan Thi Huong, Selvi dan dua anggota polis. Mereka memakai baju pelindung bahan ki­mia lengkap dengan to­peng pernafasan,” katanya.

Prosiding pengecaman pada hari kelima perbicaraan dilakukan di Jabatan Kimia di sini ke­rana menurut Raja, 42, agen saraf pada sebahagian bahan bukti masih lagi aktif dan boleh memudaratkan sekiranya proses tersebut dilakukan di tempat terbuka.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh kes itu, Siti Aisyah, 25, dan warga Vietnam, Thi Huong, 28, tiba di jabatan tersebut kira-kira pukul 9 pagi diikuti oleh Hakim Azmi serta kakitangan mahkamah setengah jam kemudian.

Kedua-dua wanita terbabit dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersama-sama empat lagi individu yang masih bebas membunuh Jong-nam, 45, di Balai Berlepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Sepang kira-kira pukul 9 pagi, 13 Februari lalu.

Pertuduhan terhadap kedua-dua wanita itu dikemukakan me­­­ngikut Seksyen 302 Kanun Kesek­saan yang memperuntukkan hu­­kuman mati mandatori.

Peguam bela, Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Thi Huong memberitahu, antara barang kes yang dicamkan hari ini ialah sehelai kemeja T bertulis LOL, sehelai kemeja T tidak berlengan dan skaf yang kedua-duanya berlabel ‘Doan Thi Huong’ dan ‘Siti Aisyah’.

Yang turut dicamkan ialah keratan kuku berlabel ‘Doan Thi Huong’, tambahnya.

Peguam bela, Gooi Soon Seng yang mewakili Siti Aisyah pula memberitahu, kot yang dikatakan dipakai oleh mangsa tidak dikemukakan pada prosiding tersebut dan difahamkan telah dihantar pulang ke Korea Utara.

“Kot tersebut dikatakan mempunyai jumlah VX yang banyak tetapi ia tidak dikemukakan hari ini. Ia merupakan salah satu bukti yang penting. Kami akan me­nyentuh mengenai perkara ini waktu hujahan nanti,” katanya.

Menjawab pertanyaan kenapa anak guamnya tidak masuk ke dalam makmal untuk proses pengecaman walaupun dibawa ke jabatan itu, peguam terbabit menyatakan ‘tak perlu’.

Perbicaraan bersambung esok di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan pendakwaan dijangka memanggil jurugambar dan Ketua Unit DNA Jenayah dari Jabatan Kimia, Nor Aidora Saedon.