Pemandu jentera Fire Rescue Tender (FRT), Md. Elliza Mohd. Noor daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya kelihatan sebak selepas melihat dokumen dan gambar Muhammad Adib yang diserahkan kepadanya oleh mahkamah.

Md. Elliza, 36, dilihat beberapa kali menyeka air mata sambil menundukkan wajahnya ketika menyelak helaian dokumen tersebut.

Ketika memberi keterangan, Md. Elliza memberitahu bahawa apabila berjaya keluar daripada kawasan, dia menaiki jentera FRT terus menuju ke Balai Polis USJ 8.

"Setibanya di balai, saya terdengar salah seorang rakan memberitahu penyelia bahawa Mohammad Adib tiada di dalam jentera ERMS. Saya cuba menghubungi Mohammad Adib beberapa kali namun tidak berangkat.

"Kira-kira 15 minit kemudian, ada yang menelefon menggunakan telefon Mohammad Adib memaklumkan menghantarnya ke Subang Jaya Medical Centre," katanya.-UTUSAN ONLINE