Empat tertuduh itu Muhammad Ridzuan Sekh Ruslan, 26; pengawai dari One City, Irwan Nordin, 38; Mohd. Khairi Abd. Rashid, 24 dan Rozaihan Jamaludin, 38, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa bersama-sama dengan beberapa orang lagi yang masih bebas didapati berada dalam rusuhan dan semasa rusuhan itu, kesemuanya memiliki parang, kapak, pisau dan kayu yang boleh digunakan sebagai senjata untuk menyerang.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Difahamkan seorang lagi individu yang sepatutnya dituduh mengikut seksyen sama kini berada di hospital bagi mendapatkan rawatan.

Sementara itu, seorang lelaki, T. Thinekaran, 34, mengaku tidak bersalah atas tuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang individu, Datuk K. Tanggeswaran, 23, dengan cara menumbuk mangsa di bahagian kening sebelah kiri di tepi jalan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), USJ, di sini pukul 4.30 petang, tarikh sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.- UTUSAN ONLINE