Asisten Supe­rintenden, Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang/KLIA membe­ritahu, pihak berkuasa turut merampas 14 item daripada unit kediaman Ri Jong-chol di Kondominium Dynasty Garden, Kuala Lumpur.

“Antara item yang dirampas adalah sebotol bahan kimia klorida, dua unit sarung tangan, berus gigi, wang tunai AS38,000 (RM160,626), empat telefon bimbit berserta empat kad sim, dua tablet, dua komputer riba dan komputer meja,” kata saksi pendakwaan kesembilan itu.

Barangan elektronik ter­sebut kemudian dihantar ke Makmal Forensik Polis di Cheras untuk diperiksa manakala barangan lain selain wang tunai dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis bagi mengesan kehadiran racun saraf itu di rumah tersebut.

Pihak berkuasa bagaimanapun tidak merampas apa-apa pakaian dan keratan kuku tangan milik Jong-chol yang merupakan salah seorang suspek pada ketika itu berikutan tiada keperluan untuk berbuat demikian.

Saksi itu berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam bela, Gooi Soong Seng pada perbicaraan hari ke-15 kes warga Indonesia, Siti Aisyah, 25, dan Doan Thi Huong, 28, didakwa membunuh Kim Chol atau turut dikenali sebagai Kim Jong-nam bersama-sama empat lagi individu yang masih bebas di Balai Berlepas, KLIA2, Sepang kira-kira pukul 9 pagi, 13 Februari lalu.

Pertuduhan terhadap kedua-dua wanita itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Berhubung Jong-chol pula, Wan Azirul Nizam memberitahu graduan jurusan Sains dengan pengkhususan kimia itu telah ditahan pada 17 Februari di kediamannya dan ditahan reman selama dua minggu sebelum diusir pulang ke Korea Utara pada 3 Mac lalu.

Semalam, saksi tersebut memberitahu sebuah kereta Naza Ria telah dibeli oleh seseorang dari Kedutaan Korea Utara bernama Chel Su, lima bulan sebelum kejadian serangan itu dan didaftarkan atas nama Jong-chol.

Kenderaan tersebut kemudian digunakan oleh seorang lelaki yang tidak dikenali untuk menghantar tiga suspek yang masih bebas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) dan ke KLIA selepas kejadian serangan ke atas Jong-nam untuk melarikan diri ke negara lain.

Menjawab pertanyaan Soon Seng yang mewakili Siti Aisyah, pegawai polis itu memberitahu terdapat kemungkinan lelaki itu dipanggil semula ke negara ini untuk menjadi saksi dalam perbicaraan itu.

“Bagaimanapun, tiada sapina dikeluarkan kepada Jong-chol kerana saya tidak mendapat sebarang arahan untuk berbuat demikian,” ujar saksi itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin bersambung Isnin ini.