Suruhanjaya itu dalam kenyataannya berkata, tiga lagi individu merupakan bekas pegawai khas Rosmah, Datuk Rizal Mansor, bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan ahli perniagaan, Datuk Tan Eng Boon.

Suruhanjaya itu berkata, Rosmah dan Rizal akan dituduh berhubung siasatan kes membabitkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah-sekolah di Sarawak pada pukul 2.30 petang esok Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

“Rosmah juga telah dipanggil di ibu pejabat SPRM pada jam 12.00 tengah hari ini bagi melengkapkan proses akhir siasatan dan pendakwaan tersebut,” kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataanya di sini hari ini.

Terdahulu, Rosmah memberi keterangan hampir empat jam kepada SPRM, kereta yang membawa isteri bekas Perdana Menteri itu dilihat memasuki ibu pejabat SPRM pada pukul 11.40 pagi dan keluar pada pukul 2.35 petang.

Notis memerintahkan Rosmah dan Rizal hadir memberi keterangan telah diserahkan semalam namun, Rizal tidak hadir ke ibu pejabat SPRM hari ini kerana beliau telah diminta untuk terus Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok untuk pendakwaan.

Menurut suruhanjaya itu, dalam kes berasingan, pihaknya juga telah menahan Tengku Adnan berhubung siasatan kes penjualan tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada pukul 3.25 petang di ibu pejabat SPRM hari ini.

“Tengku Adnan akan dituduh bersama seorang ahli Eng Boon di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada tarikh dan waktu yang sama esok, setelah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara,” katanya.-UTUSAN ONLINE