Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Sri Gopal Sri Ram ketika prosiding sebutan semula kes isteri bekas Perdana Menteri itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan.

Tiga kes itu melibatkan kes rasuah berhubung projek bersepadu sistem solar sekolah luar bandar di Sarawak, pengubahan wang haram dan gagal mengemukakan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 24 April ini bagi mengetahui perkembangan terkini mengenai kes-kes tersebut.

Sementara itu peguam bela, Datuk Geethan Ram Vincent yang mewakili Rosmah ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata, hari ini ditetapkan untuk pendengaran permohonan bagi perbicaraan bersama.

“Tetapi ia tidak dapat dijalankan kerana kes Rosmah yang didakwa berhubung projek solar masih belum disebut di Mahkamah Tinggi biarpun sudah dipindahkan,” katanya.

Pada 4 Oktober 2018, Rosmah, 67, yang juga diwakili peguam bela, Manjeet Singh Dhilion dan Datuk K. Kumaraendran mengaku tidak bersalah atas 12 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada LHDN.

Bagi kes melibatkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar sekolah luar bandar di Sarawak pula, Rosmah didakwa atas dua pertuduhan meminta RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta, dua tahun lalu.

 

Sementara itu, pada 15 November tahun sama, Rizal, 45, yang diwakili peguam bela, Ridha Abdah Subri didakwa mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah untuk dirinya dan Rosmah melibatkan projek sama. - UTUSAN ONLINE