Saman berkenaaan difailkan Global Royalty Trading SAL selaku pihak  plaintif tahun lalu bagi
menuntut isteri bekas Perdana Menteri itu memulangkan semua unit barang kemas yang dihantar kepadanya untuk dipilih atau membayar harga semua barangan kemas berkenaan yang berjumlah US$14.79 juta atau hampir RM60 juta.

Peguam N. Rajivan yang mewakili Rosmah ketika ditemui pemberita berkata, tindakan tersebut diambil memandangkan sehingga hari ini kerajaan masih gagal untuk mengesahkan status barang kemas itu sama ada berada dalam jagaan pihak polis ataupun pada anak guamnya.

"Pihak kami akan failkan permohonan bagi menggantung prosiding sehingga tempoh sitaan tamat yang dijangka berakhir Mei, kami akan failkan sebelum 25 Februari ini," katanya selepas pengurusan kes itu di kamar Pesuruhjaya Kehakiman Wong Chee Lin hari ini.

Global Royalty dalam saman yang difailkan pada 26 Jun tahun lalu mendakwa, kebiasaannya pihaknya akan menyerahkan barang kemas kepada pelanggan tetapnya itu untuk dinilai dan akan membeli barangan yang dipilih olehnya.

Pembayaran sama ada dibuat sendiri atau melalui pihak ketiga dan memulangkan baki barang kemas yang tidak dipilih kepada pihak plaintif.

Pihak plaintif men­dak­wa, Rosmah dalam su­rat bertarikh 22 Mei tahun lalu mengesahkan, menerima 44 barang kemas itu namun kini tidak lagi berada dalam miliknya kerana telah disita oleh polis.

Pihak plaintif menuntut enam perintah perisytiharan antaranya, sebagai pemilik sah ke atas barang kemas itu dan harta tersebut tidak berpindah kepada defendan dan perintah mandatori supaya barang kemas dipulangkan kepada pihak plaintif. - UTUSAN ONLINE.