Hakim Hasbullah Adam menjatuhkan hukuman itu terhadap Tengku Asmawi Tengku Alaudin, 42, selepas tertuduh menukar pengakuannya kepada bersalah pada hari pertama perbicaraan.


Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama-sama tiga yang masih bebas didakwa merompak wang di dalam sebuah bilik yang merupakan hasil jualan rokok tidak sah lebih kurang RM2,000 milik Muhammad Yusuf Yakob di Kedai Runcit Usop Jamu, Lot. 236-F Lorong Keramat Dalam 7 melalui Jalan Kampung Datuk Keramat, di sini kira-kira pukul 8 pagi, 22 Ogos 2017.

Bapa kepada dua cahaya mata itu didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.


Mahkamah memerintahkan Tengku Asmawi menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap, 27 September tahun lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Faridah Nurdinie Bahrum memohon hukuman setimpal kerana kesalahan yang dilakukan serius selain mengambil kira kepentingan awam namun peguam, Zulkifli Awang yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya sedang menjalani hukuman penjara tiga tahun dan sebatan lima kali di Penjara Kajang, Selangor atas kesalahan sama iaitu merompak.

“Dengan hukuman yang sedang dijalani oleh tertuduh ia telah banyak memberi iktibar kepadanya malah berjanji tidak akan mengulangi kesalahan jenayah itu selain tertuduh benar-benar insaf dengan perbuatan tersebut serta memohon maaf kepada pihak mahkamah,” kata peguam itu.


Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tiga hingga lima lelaki datang ke kedai itu dan telah mengakui bahawa mereka sebagai pegawai kastam.


Mereka turut memaklumkan ingin membuat pemeriksaan ke atas kedai itu kerana mengesyaki kedai milik mangsa telah menjual rokok yang tidak sah iaitu belum mendapat kelulusan daripada pihak kastam.


Semasa pemeriksaan dibuat mereka telah mengambil duit simpanan kedai mangsa sebanyak RM2,000 dan terus melarikan diri.


Disebabkan itu mangsa telah membuat laporan polis di balai polis berdekatan dan pada 27 September 2017 anggota polis telah membuat tangkapan terhadap tertuduh. - UTUSAN ONLINE