Mekanik, S. Theventhiran, 38, dan pemandu peribadi, M. Nagan Kumar, 40, dijatuhi hukuman itu selepas mereka menukar pengakuan kepada bersalah melakukan rompakan itu di sebuah kedai di Jalan USJ 21/3, Subang Jaya dekat sini pada pukul 10 pagi, 26 Januari lalu dan di sebuah hotel di USJ 21, Subang Jaya kira-kira pukul 3.45 pagi, 28 Januari lalu.

Di hadapan Hakim S. Mabel Muttiah, mereka didakwa melakukan rompakan berkumpulan menggunakan sebilah parang yang boleh menyebabkan kematian atau cedera parah dengan melarikan barang kemas, tiga unit telefon bimbit, seutas jam tangan dan minuman keras bernilai hampir RM40,000 di kedai terbabit.

Sebelum menjatuhkan hukuman, hakim tersebut menasihatkan kedua-dua tertuduh supaya berubah dan menginsafi perbuatan mereka ketika menjalani hukuman di penjara.


“Mahkamah kecewa kerana saya dapat melihat kebijaksanaan dalam diri anda berdua berdasarkan cara pertanyaan ketika sesi soal jawab dalam perbicaraan sebelum ini.


“Tapi, sayangnya kamu berdua tidak menggunakan kepandaian itu dengan betul. Berubahlah demi diri sendiri, keluarga dan bangsa kamu,” katanya.


Sementara itu, di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin, mereka didakwa melakukan rompakan berkumpulan terhadap Muhammad Romi Saputra Nazri, 23, di hotel tersebut dengan merampas seunit telefon bimbit jenama Asus dan wang tunai RM475 dengan menggunakan dua bilah parang yang boleh menyebabkan kematian atau cedera parah.


Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Mabel menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan sebatan lima kali bermula dari tarikh tangkap iaitu 28 Januari lalu sementara di hadapan Norshila, mereka dihukum penjara 10 tahun dan sebatan dua kali. Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak.


Terdahulu, Theventhiran dan Nagan Kumar yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan telah insaf dan mempunyai tanggungjawab untuk menyara ahli keluarga mereka.


Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, V.V. Suloshani dan Shahzreen Nadia Zulkipli bagaimanapun memohon hukuman setimpal dengan alasan tindakan yang dilakukan mereka adalah kesalahan serius kerana menggunakan senjata yang boleh menyebabkan kecederaan parah.


“Meskipun tiada kecederaan dilaporkan, namun kejadian ini telah menimbulkan ketakutan terhadap mangsa,” kata Suloshani.