Hakim Datuk Azman Abdullah memutuskan demikian terhadap lelaki berusia 37 tahun itu yang diwakili peguam N. Rajesh dan Tiu Foo Woei selepas membenarkan rayuannya terhadap hukuman.

Lelaki itu selaku perayu pada 8 September tahun lalu telah dijatuhi hukuman penjara 48 tahun dan sebatan 24 kali oleh Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak, Putrajaya atas 623 tuduhan pelbagai kesalahan seksual terhadap anak kandungnya yang berusia 15 tahun.

Pada prosiding hari ini, mahkamah hanya membuat keputusan terhadap dua pertuduhan setelah meneliti transkripsi rakaman mahkamah (CRT) ketika pengakuan bersalah perayu direkodkan pada 25 Ogos 2017.

Mahkamah kemudian menetapkan 16 Julai ini untuk sebutan semula bagi mengetahui status baki 621 pertuduhan yang lain.

Terdahulu, Hakim Azman dalam keputusannya menjatuhkan hukuman penjara 24 tahun dan sebatan 12 kali bagi kesalahan rogol berbanding hukuman penjara 28 tahun sebelum ini.

Bagi kesalahan liwat pula, Hakim Azman menjatuhkan hukuman penjara 16 tahun dan sebatan 12 kali berbanding penjara 20 tahun sebelum ini dan kesemua hukuman itu berkuat kuasa secara berasingan bermula dari tarikh tangkap.

Perayu sebelum ini memfailkan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman pada Oktober tahun lalu.

Dalam keputusan pada 8 September tahun lalu, Hakim Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak, Yong Zarida Sazali memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 26 Julai 2017.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu menjalani khidmat masyarakat selama 240 jam dalam tempoh enam bulan, menjalani kaunseling pemulihan selama 10 tahun dan mengikuti pengawasan polis selama tiga tahun selepas keluar dari penjara.

Mengikut pertuduhan, bapa tiga anak perempuan itu didakwa atas satu pertuduhan merogol, satu pertuduhan penganiayaan seks, 30 tuduhan sentuhan seksual secara fizikal dan 591 tuduhan liwat di rumah mereka di Sungai Way, Petaling Jaya antara Januari dan Julai tahun lalu sebanyak tiga kali sehari iaitu pada waktu pagi, petang dan malam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan Seksyen 376A kanun sama serta Seksyen 14/16 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 selain Seksyen 31(1)(a) dan Seksyen 31(1)(b) Akta Kanak-kanak 2016 yang masing-masing memperuntukkan hukuman penjara dan sebat. - UTUSAN ONLINE