Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohamad Shariff Abu Samah memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Nordin Ismail yang tidak berpuas hati ke atas hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret Kanak-Kanak terhadap keempat-empat remaja (responden) yang berusia antara 16 dan 17 tahun itu pada 20 Mac lalu. 

Tiga remaja lelaki yang didakwa merogol dihukum penjara 10 tahun manakala seorang lagi yang didakwa melakukan seks luar tabii dihukum penjara lima tahun. 

Mahkamah memerintahkan hukuman pemenjaraan itu berkuat kuasa serta-merta.

Pada 20 Mac lalu, Mahkamah Majistret Kanak-Kanak menjatuhkan hukuman penjara  lima hari  ke atas keempat-empat remaja itu selepas mereka mengaku salah terhadap pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan, tiga remaja itu didakwa bersama-sama melakukan rogol berkumpulan ke atas mangsa yang ketika kejadian berusia 13 tahun sembilan bulan di kawasan semak di Sentul, di sini kira-kira pukul 4 pagi, 7 Disember 2016.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun.

Seorang lagi tertuduh didakwa melakukan seks luar tabii terhadap mangsa sama di tempat, masa dan tarikh sama dan didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun atau maksimum 20 tahun dan hendaklah dikenakan sebat. - UTUSAN ONLINE