KAMAL HISHAM JA'AFAR

Asisten Superintenden, Raymond Kona dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJ) Bukit Aman berkata, dua keping cek berjumlah RM144,000 dan RM72,000 itu dibayar Southern Ads kepada firma guaman tersebut pada 18 Mei 2010 dan 10 Jun, tahun yang sama.

Katanya, siasatan terhadap buku lejar syarikat Southern Ads dan penyata akaun bank Tetuan Kamal Hisham & Associates di RHB Bank Bhd. turut mengesahkan berlakunya pembayaran dan penerimaan cek berkenaan.

“Laporan audit syarikat pengiklanan tersebut memaklumkan pembayaran kedua-dua cek berkenaan adalah sebagai kos konsultasi dijalankan Tetuan Kamal Hisham & Associates.

“Kedua-dua cek berkenaan dibayar kepada Kamal Hisham & Associates. Kamal Hisham Ja’afar merupakan Pengarah syarikat Southern Ads dan juga rakan kongsi dalam Kamal Hi­sham & Associates,” katanya ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shukor Abu Bakar.

Saksi pendakwaan ke-24 itu berkata demikian pada perbicaraan kes terhadap Kamal Hisham, 47, yang didakwa atas 17 pertuduhan melibatkan empat pertuduhan pecah amanah, sembilan pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram dan empat pertuduhan di bawah Akta Syarikat 1965.

Raymond sebelum itu berkata, siasatan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dijalankan olehnya selepas menerima satu laporan polis oleh Setiausaha Southern Ads, Lilian Low berhubung pembayaran RM144,000 dan RM72,000 kepada Tetuan Kamal Hisham & Associates.

Katanya, berdasarkan laporan polis berkenaan, kedua-dua pembayaran dilakukan tanpa adanya dokumen sokongan yang membenarkan pembayaran tersebut dibuat.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd. Nasir Nordin bersambung esok.