Keputusan menolak representasi bagi menarik balik pertuduhan terhadapnya dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, M. Arunjothy kepada Hakim Azrul Darus dalam prosiding di Mahkamah Sesyen Ampang dekat sini hari ini.

Berikutan keputusan itu, mahkamah menetapkan 28 Mei ini untuk sebutan semula kes.


Pada 2 Februari lalu, tertuduh yang berusia 46 tahun dan dikenali sebagai Pak Su oleh mangsa-mangsa, mengaku tidak bersalah atas 334 pertuduhan melakukan sumbang mahram terhadap anak saudaranya sendiri, sejak mangsa berusia lima tahun, antara 2010 sehingga Januari 2018.

Tiga hari kemudian dia mengaku tidak bersalah atas 253 pertuduhan sama dan satu tuduhan cubaan rogol terhadap dua lagi anak saudaranya yang merupakan adik mangsa pertama, masing-masing antara Januari 2006 dan Disember 2013 serta antara Januari dan Disember 2017.


Pendakwaan bagi 587 pertuduhan sumbang mahram dikemukakan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat.


Bagi kesalahan cubaan rogol, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B/511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun.