ALOR SETAR 15 Mei – Tempoh tahanan reman terhadap seorang pegawai kanan imigresen yang disyaki menjadi dalang utama kes rasuah berjumlah kira-kira RM28 juta membabitkan permit kerja ekspatriat dan profesional warga asing, dilanjutkan selama tujuh hari lagi bermula hari ini.
Perintah tahanan reman terhadap pegawai berusia 37 tahun yang bertugas di Padang Besar, Perlis tersebut dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Tertinggi Mahkamah Rendah Alor Setar, Rusmini Mat Rashid.
Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), empat lagi individu berusia antara 30 hingga 53 yang dipercayai turut mempunyai kaitan dengan kes tersebut, dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dan seorang penjamin.
Difahamkan keempat-empat mereka yang terdiri daripada seorang individu bergelar Datuk, kontraktor, ahli perniagaan serta pegawai imigresen berusia 34 tahun membayar wang jaminan tersebut.
Akhbar sebelum ini melaporkan kelima-lima individu berkenaan ditahan SPRM pada 8 dan 9 Mei lalu di beberapa lokasi berbeza.
Suspek utama tersebut yang sebelum ini berkhidmat di Unit Khidmat Ekspatriat, Jabatan Imigresen di Putrajaya disyaki menerima wang suapan sekurang-kurangnya RM1,500 daripada kontraktor berkenaan untuk memudahkan kelulusan permit setiap pegawai dagang atau tenaga kerja asing mahir daripada pelbagai sektor memasuki negara ini.
Ekoran penahanannya itu, SPRM menyita asetnya yang dipercayai diperoleh hasil kegiatan rasuah bernilai kira-kira RM2.5 juta antaranya enam kenderaan mewah, sijil simpanan tetap bernilai RM1 juta serta 13 jam dan beg tangan bernilai kira-kira RM130,000.