Majistret Nurulhuda Zakariya membenarkan tempoh reman terhadap wanita berusia 43 tahun itu dilanjutkan sehingga Khamis di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Peguam wanita itu, Hisyam Teh Poh Teik berkata, polis memohon tempoh dilanjutkan sehingga tujuh hari namun pihaknya meminta dikurangkan kepada tiga hari sahaja.

“Pihak polis meminta sambungan sehingga tujuh hari atas alasan ingin menjalankan siasatan lanjut. Namun kami membantah kerana proses soal siasat tidak boleh dijadikan alasan untuk memanjangkan tempoh reman,” katanya di sini hari ini.

Pada 14 Jun lalu, Nazrin maut dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Homes, Petaling Jaya.

Kematian Nazrin diklasifikasikan semula bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh selepas laporan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menunjukkan wujud kesan petrol di lokasi kejadian, selain berdasarkan keputusan bedah siasat. - UTUSAN ONLINE