Majistret Saiful Sayoti mengarahkan perintah reman itu ke atas suspek, Philip Uja, 42, di Wad 15, Hospital Sibu sebentar tadi.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, permohonan reman tersebut dilakukan di Hospital Sibu kerana suspek masih menjalani rawatan selepas meminum racun.

Katanya, permohonan reman terhadap suspek itu dibuat Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Sylvarius Gopog, manakala suspek diwakili oleh peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Chieng Lee Seng.

“Buat masa ini suspek masih mendapat rawatan lanjut di Hospital Sibu dan keadaannya beransur pulih.

“Kita percaya dengan penahanan suspek ini akan membantu polis menyelesaikan siasatan kes bunuh ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini sebentar tadi.

Suspek yang merupakan pemandu lori disyaki terlibat dalam kes bunuh itu berjaya ditahan di sebuah rumah panjang di Julau semalam.

Tangkapan dijalankan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Julau kira-kira pukul 10.40 pagi.

Terdahulu suspek suspek telah meminum racun di dalam sebuah tandas di rumah panjang dipercayai untuk membunuh diri bagaimanapun dimuntahkan semula. - UTUSAN ONLINE