Tertuduh, Ng Pei Ven,19, didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua -duanya sekali.

Selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin, Pei Ven yang juga model sambilan mengaku faham pertuduhan dan minta dibacarakan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Mahkamah, Md. Azman Kadir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret, Jamaliah Abdul Manap menetapkan sebutan semula kes pada 12 Mei depan dan tertuduh dibenarkan diikat jamin RM5,000 dengan dua penjamin.

Selain itu, Pei Ven turut diarahkan untuk melaporkan diri di balai polis terdekat setiap minggu.

Dalam kejadian kira-kira 7.50 pagi Selasa lalu, kereta jenis Proton Gen 2 yang dipandu secara melawan arus oleh Pei Ven dari arah Sungai Dua menghala Permatang Pauh melanggar beberapa kenderaan lain sehingga menyebabkan kematian seorang juruteknik kilang, Mohd. Fandi Rosli.

Sementara itu, mahkamah turut menolak permohanan Md. Azman supaya lesen memandu tertuduh digantung kerana dia masih belum didakwa dan disabitkan kesalahan bagi tuduhan memandu secara berbahaya. - UTUSAN ONLINE