Bagaimanapun, remaja lelaki berusia 14 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan terhadapnya selesai dibacakan di hadapan Majistret Haslinda A. Raof.

Prosiding kes itu dijalankan secara tertutup kerana membabitkan kes juvana dan hanya keluarga tertuduh dibenarkan masuk ke mahkamah.

Mahkamah turut memerintahkan remaja itu dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak bagi menjalankan pemeriksaan mental selama sebulan selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan bagi tujuan tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama, remaja itu didakwa dengan kejam menyebabkan kesakitan atau penderitaan yang tidak sepatutnya terhadap seekor kucing di tepi Jalan Lembah Maju 3/3, Taman Lembah Maju, Pandan Indah di sini pada pukul 1.20 pagi dan 2.35 pagi, 7 Mei lalu.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan dihukum mengikut Seksyen 29(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan membakar sebuah lori jenis Daihatsu milik seorang wanita bernama Maslia Yahaya, 39, sehingga menyebabkan kerugian bernilai lebih kurang RM6,000.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda. - UTUSAN ONLINE.