Remaja berusia 17 tahun itu mengaku bersalah selepas pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Majistret M. Barath.

Mengikut pertuduhan remaja itu didapati menungang motosikal dengan cara melulu dan laju serta mendatangkan bahaya kepada orang lain.

Kesalahan tersebut dilakukan di Kilometer 306.3 hingga 309.5 Lebuh Raya Utara Selatan pada pukul 2.04 pagi, 2 Mac lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fazeedah Faik dibuat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang mana sabit kesalahan remaja bawah umur tersebut boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM15,000.

Manakala sabitan kali kedua, remaja berkenaan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebih RM20,000.

Satu tarikh akan ditetapkan kemudian bagi proses jatuh hukum terhadap remaja itu di Mahkamah Juvana. - UTUSAN ONLINE