Bekas pemangku Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar, Asisten Superitenden Jamalludin Shah Mohd. Jawan berkata, semua nama tersebut merupakan warga tempatan telah berada di dalam radar pihaknya pada selama ini.

Beliau yang kini bertugas di IPD Tumpat Kelantan berkata, laporan Cawangan Khas berhubung penyeludupan manusia itu dikategorikan sebagai rahsia besar, justeru itu ia tidak boleh didedahkan kepada umum atas faktor keselamatan.

Sehubungan itu, Pengerusi RCI, Tun Ariffin Zakaria meminta para wartawan dan orang ramai yang duduk di galeri awam diminta keluar sebaik sahaja saksi ketujuh itu ingin mendedahkan nama tersebut.

Keadaan itu telah menyebabkan wartawan terpaksa menunggu di luar bilik prosiding kira-kira 30 minit sehingga proses itu selesai.

Pada prosiding sebelum ini, saksi keenam RCI iaitu bekas Penolong Pegawai Pemerintah Medan Batalion Pasukan Gerakan Am (PGA), S. Sivanganam pernah mendedahkan terdapat dalang terlibat yang terdiri daripada penduduk Wang Kelian.

Selain itu, sebanyak tiga lagi saksi telah dipanggil memberikan keterangan pada hari ini antaranya dua pesara polis dan seorang anggota polis yang pernah terlibat dalam penahanan PATI di Wang Kelian.

Mereka adalah Abdul Rahman Hashim dan Zainuddin Husin yang masing-masing merupakan bekas Ketua Balai Polis Kaki Bukit di Padang Besar manakala seorang lagi Penyelia Pondok Polis Wang Kelian, Koperal Roshaidi Hussin.

Prosiding RCI akan disambung semula esok. - UTUSAN ONLINE