Perkara itu ditentukan selepas Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan pemimpin DAP itu dan memerintahkannya membayar kos sebanyak RM5,000 masing-masing kepada Najib dan Kerajaan Malaysia.

Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Ahmadi Asnawi yang bersidang bersama Datuk Kamardin Hashim dan Datuk Yeoh Wee Siam.

Kuorum berkenaan berpuas hati rayuan itu tidak mempunyai merit kerana Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf ketika membatalkan saman tersebut, maka tidak perlu bagi mahkamah itu campur tangan dan mengubahnya.

Najib diwakili oleh peguam Tan Sri Cecil Abraham; Kerajaan Malaysia oleh Peguam Kanan Persekutuan, Alice Loke Yee Ching sementara peguam Gobind Singh Deo serta Michelle Ng mewakili Tony.

Pemimpin pembangkang itu merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 13 Oktober tahun lalu yang membatalkan samannya itu selepas membenarkan permohonan Najib dan kerajaan.

Pesuruhjaya Kehakiman, Da­tin Faizah Jamaludin dalam keputusannya ketika itu menyatakan, Tony tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk mengemukakan tuntutan tersebut serta Tony juga tiada kausa tindakan yang munasabah selain tindakan saman itu merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.

Faizah berpendapat, saman tersebut hanya bersandarkan kepada spekulasi semata-mata kerana Tony tidak menyertakan sebarang butiran berhubung dakwaannya yang melibatkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib memfailkan permohonan tersebut pada 14 Februari tahun lalu atas alasan, Perdana Menteri bukannya seorang pegawai awam selain tuntutan tersebut melibatkan saman bersifat ‘collateral suit’ (saman cagaran) yang mempunyai tujuan politik yang terselindung.

Pihak plaintif dalam pernyataan tuntutannya mendakwa, Najib atas kapasitinya sebagai Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB cuai menggunakan pengaruh dan kedudukannya bagi mendapatkan jaminan daripada kerajaan untuk bon-bon 1MDB yang mana hasil-hasil telah dipindahkan ke dalam akaun peribadinya.

Tony juga mendakwa, Najib dengan niat jahat sengaja atau cuai meluluskan 1MDB atau syarikat bersekutunya untuk memasuki pelbagai transaksi pelaburan dan perjanjian tanpa menjalankan usaha wajar, telah menyalahgunakan dana 1MDB secara diam-diam.