Ketiga-tiga pihak itu ialah bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim dan Majlis Peguam Malaysia.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Umi Kalthum Abd. Majid yang bersidang bersama Tan Sri Idrus Harun dan Datuk Abdul Rahman Sebli memutuskan demikian secara sebulat suara dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang tidak memihak kepada ketiga-tiga perayu.

Pada 11 November tahun lalu, Hakim Datuk Hanipah Farikullah menolak permohonan ketiga-tiganya bagi memulakan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Mohamed Apandi yang menyatakan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah berhubung isu sumbangan derma RM2.6 bilion.

Beliau berpuas hati bahawa Peguam Negara mempunyai budi bicara yang luas berhubung kawalan dan arahan sama ada untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan pendakwaan jenayah di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan. - UTUSAN ONLINE