Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Umi Kalthum Abd. Majid, Puan Sri Zaleha Yusof dan Datuk Yaacob Md. Sam selepas berpuas hati isu yang dibangkitkan dalam rayuan itu kini akademik.

Beliau yang juga bekas Pengerusi Bersih 2.0 merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Mei tahun lalu yang menolak permohonan semakan kehakimannya untuk mencabar keputusan kedua-dua responden yang melarangnya ke luar negara.

Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad menolak permohonan itu berdasarkan dua alasan utama iaitu ia bersifat akademik dan keputusan Ketua Pengarah Imigresen serta Kementerian Dalam Negeri dalam mengeluarkan larangan berkenaan, tidak boleh disemak.

Hakim berkenaan berpuas hati bahawa permohonan itu bersifat akademik kerana perintah tersebut telah ditarik balik pada 17 Mei 2016 iaitu selepas dua hari larangan itu dikeluarkan. - UTUSAN ONLINE