Perkara itu ditentukan selepas rayuan badan itu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengekalkan keputusan DB, ditolak tanpa kos oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Tengku Maimun Tuan Mat.

Beliau yang bersidang bersama Datuk P. Nalini dan Datuk Mary Lim Thiam Suan sebulat suara berpuas hati bahawa keterangan terhadap peguam kanan itu bersifat dengar cakap serta tidak memenuhi standard beban pembuktian.

Kuorum itu berpendapat, keterangan yang mengaitkan Cecil sebagai pihak yang merangka SD kedua itu, tidak selamat untuk membolehkan dia dikenakan tindakan salah laku di bawah Seksyen 94 Akta Profesion Undang-undang (LPA) 1976.

Hakim Tengku Maimun dalam penghakiman bertulisnya menyatakan, kes berkenaan bukan sesuatu yang jarang berlaku, jadi tiada sebab untuk panel itu campur tangan dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi.

Panel itu turut berpendirian, perlu diingati bahawa dalam kes tersebut, 20 ahli DB yang merupakan dalam kalangan rakan peguam berpuas hati tiada kausa tindakan disiplin wajar dikenakan terhadap Cecil.

Ujar beliau, mahkamah hanya boleh campur tangan jika dapatan adalah secara nyata berniat jahat, DB gagal mempertimbangkan fakta berkaitan salah laku peguam terlibat atau berlaku ketidakadilan terhadapnya.

Namun katanya, tiada satu pun alasan di atas timbul dalam rayuan ini menyebabkan panel itu berpuas hati hakim bicara tidak terkhilaf ketika mengekalkan keputusan DB.

Pada 5 Disember 2016, Mahkamah Tinggi menolak rayuan Majlis Peguam terhadap keputusan DB yang membersihkan peguam kanan itu daripada salah laku profesional.

DB telah memperakukan dapatan dan cadangan Jawatan Kuasa Disiplin (DC) yang mendapati tiada alasan untuk mengenakan tindakan disiplin terhadap Cecil.

Majlis Peguam kemudian memfailkan saman pemula untuk mengetepikan keputusan DB pada 11 Mac 2016 dengan menamakan Cecil sebagai responden tunggal.

Balasubramaniam membuat akuan bersumpah pertamanya pada 1 Mac 2008 yang antara lain mengaitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam kes pembunuhan model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Mendiang membuat SD kedua, tiga hari kemudian untuk menarik balik akuan yang pertama, dan kemudiannya melarikan diri. Sekembalinya ke Malaysia hampir lima tahun kemudian, beliau mendakwa deklarasi kedua itu dibuat di bawah paksaan. - UTUSAN ONLINE