Perkara itu ditentukan oleh Mahkamah Persekutuan hari ini ketika membenarkan tanpa kos rayuan Superintenden Pusat Tahanan Kamunting, Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia.

Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin yang bersidang bersama Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Ramly Ali, Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Datuk Seri Balia Yusof Wahi.

Sehubungan itu, keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang membenarkan tuntutan saman Badrul Zaman dan memberinya ganti rugi kerana penahanan salah, diketepikan.

Mahkamah Tinggi memberinya ganti rugi RM3.3 juta selepas berpuas hati dia ditahan secara salah di bawah ISA. Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 3 Disember 2012 mengurangkan kuantum tersebut kepada RM300,000.

Hakim Ramly ketika membacakan penghakiman bertulisnya berkata, panel itu berpuas hati keputusan serta perintah Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan terbatal, tidak sah serta tidak mempunyai kesan.

Menurut beliau, ini kerana mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa memberikan ganti rugi terhadap penahanan salah berdasarkan kepada binaan yang betul dalam subseksyen 8B (1) dan Seksyen 8C ISA.

Ujarnya, mahkamah mempunyai budi bicara membenarkan persoalan undang-undang yang melibatkan persoalan asas berhubung bidang kuasa, dibangkitkan untuk kali pertama dalam rayuan, walaupun isu berkenaan tidak pernah dikemukakan di peringkat Mahkamah Tinggi.

Panel itu bersetuju Mahkamah Rayuan mempunyai bidang kuasa mendengar isu baharu yang tidak pernah dibangkitkan di Mahkamah Tinggi asalkan persoalan itu melibatkan bidang kuasa yang membawa kepada perintah yang salah dan perlu diperbetulkan.

Mahkamah turut berpuas hati bahawa subseksyen 8B(1) dan Seksyen 8C mengehadkan pihak-pihak mencabar tindakan Menteri Dalam Negeri yang mana budi bicara mengeluarkan perintah untuk tahanan tidak boleh dipertikaikan di mahkamah kecuali perkara yang berkaitan pelanggaran prosedur.

Badrul Zaman ditahan selama tiga tahun dari 1991, atas dakwaan terbabit dengan pengeluaran permit dan pasport palsu kepada pekerja asing. Perintah tahanannya dilanjutkan untuk tempoh dua tahun lagi berkuat kuasa 14 September 1993.

Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif tidak mempertikai kesahihan perintah penahanan pertama selama dua tahun namun dia mencabar perintah tempoh lanjutan penahanan itu untuk tempoh dua tahun lagi yang dikeluarkan Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Dia dibebaskan pada 1994 selepas Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membenarkan permohonan habeas corpusnya. Dia kemudian memfailkan tuntutan saman tersebut kerana ditahan secara salah selama hampir 300 hari di antara 14 September 1993 hingga 6 September 1994.