Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Abang Iskandar Abang Hashim yang bersidang bersama Datuk Kamardin Hashim dan Datuk Hasnah Mohammed Hashim.

Mahkamah memerintahkan perayu, Tengku Sulaiman, 60, iaitu anak lelaki sulung kepada Tengku Abdul Halim Tengku Ali membayar kos RM15,000.

Tengku Sulaiman merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 21 Disember tahun lalu yang membatalkan tuntutan samannya selepas membenarkan permohonan defendan-defendan.

Tengku Sulaiman memfailkan saman itu pada 3 Mei tahun lalu bagi  menuntut haknya untuk menduduki takhta Sultan Terengganu berdasarkan peruntukan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Terengganu 1911.

Tengku Sulaiman  menamakan Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Isa @ Ghazali Endut, Tengku Ibrahim Tengku Hussain, Syed Omar Abdul Kadir Al-Idrus,  Shaikh Harun Shaikh Ismail dan kerajaan negeri sebagai defendan.

Menerusi tuntutan pada 26 September 1942, Tengku Ali (datuknya) menduduki takhta kerajaan negeri Terengganu berikutan kemangkatan ayahanda baginda Al-Marhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Zainal Abidin III.

Bagaimanapun Tengku Ali diturunkan daripada takhta itu pada 5 November 1945 oleh Jemaah Pangkuan Negeri Terengganu yang kini dikenali sebagai Dewan Pangkuan Diraja Terengganu dan melantik bapa saudara Tengku Ali iaitu Tengku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Zainal Abidin III sebagai Sultan Terengganu. - UTUSAN ONLINE