Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk P. Nalini yang bersidang bersama Datuk Dr. Badariah Sahamid dan Datuk Zabariah Mohd. Yusof berpuas hati bahawa Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf sewaktu menolak permohonan injunksi yang dikemukakan oleh Husam.

Sehubungan itu, kuorum berkenaan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 16 November tahun lalu dan memerintahkan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu membayar kos RM10,000.

Husam mengemukakan injunksi bagi menghalang pemilik tanah itu, Mohd. Yasin Yusoff yang juga Setiausaha Kerja Pas Kelantan daripada memasuki atau menggunakan Wisma Tok Guru untuk menjalankan aktiviti sehingga status quo pemilikan bangunan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Husam diwakili oleh barisan peguam bela diketuai oleh Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala Mohd. Yasin diwakili oleh pasukan peguam bela diketuai oleh Tun Salleh Abas. - UTUSAN ONLINE