Rayuan DUN Sarawak dan empat yang lain itu ditetapkan pendengarannya sebelum sidang DUN Sarawak dijadualkan bermula pada 8 November hingga 17 November ini.

Empat yang lain terdiri daripada Speaker DUN, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Perdagangan yang juga presiden Parti Rakyat Bersatu (UPP), Datuk Seri Wong Soon Koh, Kerajaan Sarawak dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Tarikh itu ditetapkan selepas panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Rohana Yusof yang bersidang bersama Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Suraya Othman menolak bantahan awal yang dikemukakan oleh wakil rakyat pembangkang itu.

Kuorum berkenaan berpuas hati bahawa rayuan DUN Sarawak yang difailkan oleh Peguam Besar Negeri Sarawak adalah kompeten selepas menimbangkan fakta dan situasi yang dikemukakan.

Perayu-perayu mengemukakan rayuan kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Jun lalu mengekalkan Tiong Choon sebagai ADUN Pujut selepas membenarkan saman pemulanya. - UTUSAN ONLINE