Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Umi Kalthum Abd. Majid memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan kesemua 12 responden iaitu Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan, kerajaan negeri dan 10 individu lain untuk membatalkan notis berkenaan.

Selain memerintahkan Mohd. Jan membayar kos RM15,000, kuorum yang turut disertai oleh Puan Sri Zaleha Yusof dan Datuk Yaacob Md. Sam berpuas hati bahawa Mahkamah Rayuan terikat dengan satu keputusan Mahkamah Persekutuan yang menyatakan perayu perlu memfailkan notis rayuan secara berasingan.

Mohd. Jan diwakili oleh barisan peguam bela terdiri daripada Yusof Rahmat, Ahmad Musthafi Mohamad dan Ahmad Soleh Yusof manakala pihak responden diwakili oleh Penasihat Undang-undang negeri, Datuk Iskandar Ali Dewa.

Sementara itu, Yusof memberitahu pemberita di luar mahkamah, pihaknya akan memfailkan permohonan lanjutan masa dan notis bagi mendapat kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan.

Mohd. Jan merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan writ samannya atas alasan mahkamah itu tidak mempunyai bidang kuasa membicarakan tuntutan yang melibatkan adat.

Mahkamah Tinggi memutuskan ia tidak mempunyai bidang kuasa campur tangan dalam sebarang keputusan yang dicapai oleh Dewan Keadilan dan Undang kerana prosedur pemecatan merupakan sebahagian daripada adat.

Ahmad Musthafi berkata, anak guam mereka mempertikaikan prosedur pemecatannya atas alasan Dewan Keadilan dan Undang tertubuh di bawah Perlembagaan Persekutuan walhal pemecatannya perlu dibuat berlandaskan undang-undang.

Ujarnya, Mohd. Jan memohon prosedur pemecatan itu diputuskan oleh kuorum penuh bagi membolehkan hak anak guam mereka didengar dan beliau mempunyai peluang membela diri terhadap tuduhan yang dihadapi.

Mohd. Jan yang dilantik sebagai Undang Luak Johol ke-14 pada 13 Mac 2007, merupakan Pembesar Memerintah bersama Undang Luak Sungei Ujong, Undang Luak Jelebu dan Undang Luak Rembau.

Beliau dipecat pada 27 Mac 2016 mengikut adat Luak Johol, selaras dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau dilucutkan jawatannya oleh Buapak Yang Enam Luak Johol selepas didapati melakukan 13 kesalahan salah laku dan adat.

Kesemua 13 kesalahan itu didapati menghina pusaka dan adat Luak Johol di bawah kesalahan berat merujuk kepada buku Gemuk Berpupuk, Segar Bersiram yang diterbitkan pada 1996.