Bagaimanapun kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Adli Abd. Ghalib.


Dua warden Penjara Pengkalan Chepa, Ketua Inspektor Penjara, Mohd. Zamri Abdullah, 38, serta Lans Koperal Dzul Azam Nani, 33, dituduh secara berasingan menerima wang RM3,000 daripada seorang banduan kira-kira pukul 6 petang, 20 Disember 2016.


Dalam pada itu, seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal, Muhammad Harris Mohd. Rafe, 29, yang bertugas di PGA Batalion 8 Pengkalan Chepa dituduh dengan tiga pertuduhan meminta suapan RM10,000 dan menerima RM8,000 daripada seorang penyeludup di Lorong Perumahan Rantau Bakti, Pasir Mas dekat sini kira-kira pukul 10 pagi, 14 Ogos 2015.


Turut didakwa ialah seorang bekas Inspektor polis, P. Kavikumar, 27, dengan dua pertuduhan meminta suapan RM15,000 serta cuba menerima suapan RM10,000 daripada seorang individu pada November 2015 di Rantau Panjang.


Tiga individu lain yang turut didakwa ialah peniaga, Syed Ahmad Farris Almuahajir Syed Mohd. Nasir, 25; kontraktor, Ahmad Hizwani Shafii, 36; dan penganggur, Shairuddin Ab. Ghani, 32.


Pertuduhan terhadap mereka dibuat masing-masing mengikut Seksyen 16 (a) (B), Seksyen 17 (a), Seksyen 17 (b) dan Seksyen 18 Akta Pencegahan Rasuah 2009.


Mahkamah kemudian membenarkan kesemua mereka dilepaskan dengan wang jaminan antara RM2,000 hingga RM15,000.- UTUSAN ONLINE