Hakim Azman Abu Hassan menjatuhkan hukuman itu terhadap subkontraktor, Tan Kok Aun, 43; peniaga kedai telefon, Loo Jiunn Shyan, 27, dan pemandu lori, Ooi See Gee, 49, setelah ketiga-tiga mereka mengaku bersalah atas pertuduhan masing-masing.

Kok Aun didakwa bersalah memberi suapan wang tunai berjumlah RM1,000 kepada Pegawai Antidadah di Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah, Nasru’ddin Abdul Rahman sebagai dorongan tidak menjalankan ujian air kencing di bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah premis hiburan Twenty 6, Kampung Berjaya di sini pada kira-kira 1.15 pagi, 27 Februari lalu.

Jiunn Shyan pula mengaku bersalah memberi suapan sebanyak RM1,100 kepada Nasru’ddin sebagai dorongan untuk melepaskan isterinya, Shirneen Goh yang disyaki positif dadah dalam ujian saringan air kencing pada kira-kira 2.20 pagi pada hari dan tempat yang sama.

Sementara See Gee didakwa memberi rasuah sebanyak RM1,200 kepada Pembantu Penguat Kuasa Kementerian Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor di Lot 36 Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam, Kubang Pasu pada kira-kira pukul 11.45 pagi, 20 november 2014.

Wang berkenaan sebagai dorongan pembantu penguat kuasa berkenaan tidak mengambil tindakan terhadapnya kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan barang kawalan secara runcit atau barang tanpa lesen.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Syahrul Khuzaini Amiruddin manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam bela.-UTUSAN ONLINE