Pasukan pembelaan Rosmah sebelum ini diketuai oleh peguam Datuk K. Kumaraendran dan Datuk Geethan Ram Vincent sebelum ditukarkan kepada peguam baharu iaitu Datuk Akberdin Abdul Kader dan Datuk Jagjit Singh.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib ketika sebutan kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azman Ahmad di sini, hari ini.

Sementara itu, Akberdin memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya perlu meneliti dokumen terlibat sebelum memberi sebarang maklum balas terhadap permohonan bicara bersama dan sebagainya.

Pada 15 November lalu, Rosmah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima rasuah RM1.5 juta dalam kes penyelewengan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi sekolah di Sarawak.

Beliau didakwa meminta suapan berjumlah RM187.5 juta iaitu 15 peratus daripada nilai kontrak daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd., Saidi Abang Samsudin sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu

mendapatkan solar bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua pula, Rosmah didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek itu.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Bistro, G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit dekat sini, antara Mac dan April 2016 dan di No. 11 Jalan Langgak Duta, Taman Duta pada 7 September 2017.

Bagi kedua-dua perbuatan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi. - UTUSAN ONLINE