Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Rosmah ketika sebutan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azman Abdullah.

“Pihak kami telah menerima semua dokumen itu pada hari Rabu lalu dan kami masih menelitinya sama ada untuk mengemukakan bantahan terhadap permohonan pendakwaan memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Dusuki Mokhtar turut mengesahkan telah menyerahkan dokumen mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.

Mahkamah kemudian menetapkan 15 Februari ini untuk sebutan kes selanjutnya.

Pada 15 November lalu, isteri bekas Perdana Menteri itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima rasuah RM1.5 juta dalam kes penyelewengan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi sekolah di Sarawak.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Bistro, G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit dekat sini, antara Mac dan April 2016 dan di No. 11 Jalan Langgak Duta, Taman Duta pada 7 September 2017.

Bagi kedua-dua perbuatan itu, Rosmah, 68, didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi. - UTUSAN ONLINE