Perintah reman sehingga Isnin depan itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Tertinggi Mahkamah Rendah Alor Setar, Wan Nor Fadzilah Wan Ibrahim di Kompleks Mahkamah Alor Setar, di sini hari ini.

Penahanan reman itu bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Terdahulu, Pengarah JPS Perlis yang memakai kemeja putih itu sampai di mahkamah pada kira-kira pukul 9.20 pagi manakala dua lagi lelaki tiba 35 minit kemudian.

Akhbar hari ini melaporkan SPRM menahan tiga individu termasuk Pengarah JPS Perlis kerana dipercayai terlibat dalam kes salah guna kuasa dan rasuah.

Menurut sumber, suspek bergelar pengarah itu disyaki menerima wang rasuah sebanyak 10 peratus bagi setiap projek yang dianugerahkan oleh JPS Perlis kepada kontraktor-kontraktor dilantik sejak tahun 2014 hingga 2017.

Dalam serbuan yang dilakukan semalam, SPRM merampas wang tunai berjumlah hampir RM900,000 di rumah salah seorang pemilik syarikat yang ditahan.

Turut disita empat akaun bank yang mempunyai wang berjumlah RM 2.9 juta yang dipercayai telah diperolehi Pengarah JPS berkenaan melalui perbuatan rasuah dan salah guna kuasa. - UTUSAN ONLINE