Law Hee Thiam, 38, dan Chan Kok Fong, 40, dijatuhi hukuman tersebut selepas menukar pengakuan kepada bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa kepada mereka di hadapan Hakim Datuk Habibah Mohamed Yusof.

Kok Fong menghadapi dua pertuduhan memberi sogokan dan satu pertuduhan menawarkan suapan manakala Hee Thiam didakwa atas satu pertuduhan memberi suapan yang kesemuanya didakwa dilakukan di Coffee House Hotel Heritage, Tanah Rata antara pukul 6.15 petang, 8 April 2015 dan pukul 8.30 malam, 19 Mei 2015.

Mengikut pertuduhan, Kok Fong yang merupakan pengusaha kebun bunga kekwa didakwa memberikan suapan RM3,000 dan RM20,000 kepada pegawai MKN, Sanifah Yusof sebagai dorongan agar tidak mengambil tindakan terhadap kebun bunga yang diusahakan secara haram dan tanpa permit di Hutan Simpan Ringlet.

Kok Fong turut didakwa menawarkan suapan berbentuk wang tunai RM1,000 secara ansuran bulanan kepada Sanifah agar tidak mengambil tindakan pembersih­an terhadap kebun tersebut.

Hee Thiam pula didakwa­ mem­beri suapan bernilai RM15,000 kepada Sanifah bagi tujuan sama membabitkan kebun yang diusahakannya secara haram dan tanpa permit di Hutan Simpan Gunung Siku.

Habibah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM75,000 terhadap Hee Thiam manakala Kok Fong dijatuhkan hukuman penjara sehari untuk ketiga-tiga pertuduhan dan berjalan serentak selain denda RM125,000.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kamariah Seman manakala Kok Fong diwakili peguam Simon Evansondan dan Hee Thiam pula tidak diwakili peguam.