Tan Tee Long, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jamaludin Mat.

Jamaludin kemudian menetapkan 30 Julai ini untuk pengurusan kes manakala tertuduh dikenakan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain dikehendaki hadir melaporkan diri di Balai Polis Jerteh.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memberi suapan wang tunai RM5,000 kepada seorang penolong pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu di sebuah kilang kayu, MJ Wood Industries, Kampung Bintang, Setiu pukul 1.30 petang, 2 April lalu.

Teo Liong dituduh melakukan perbuatan itu sebagai dorongan supaya pegawai berkenaan tidak mengambil tindakan terhadap kayu bulat milik tertuduh yang tidak mempunyai cop tanda tukul Jabatan Perhutanan.

Adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 15 Akta Perhutanan Negara 1984 sekiranya kayu bulat tersebut tidak mempunyai cop tanda tukul.

Bapa kepada dua orang anak itu didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi.-UTUSAN ONLINE