Kesemua tertuduh iaitu pasangan suami isteri, Mohd. Khairi Othman, 38, dan isteri, Noorashikin Azmi, 38, dari Taman Rahmat, Jitra, dan Huziana Othman, 48, dari Taman Suasana Damai, Jitra yang merupakan kakak Mohd. Khairi tidak mengaku bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan hakim Azman Abu Hassan.


Dalam pertuduhan pertama melibatkan dua kesalahan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, Mohd. Khairi sebagai Ketua Unit DP10, Bahagian Khidmat Ekspatariat, Ibu Pejabat JIM Putrajaya menerima rasuah sebanyak RM100,000 daripada Muhammad Khairul Asri Pubin melalui akaun Maybank atas nama Hassan Muhammad Yusuf @ Daud.


Wang sogokan tersebut adalah sebagai upah mempercepatkan pengeluaran Surat Kelulusan Pegawai Dagang (DP10) bagi Syarikat MKAP Bina Sdn. Bhd. pada 16 Julai 2017, kira-kira pada pukul 11.07 pagi.


Bagi kesalahan kedua, Mohd. Khairi menerima RM50,000 daripada Lee Wai Kay melalui akaun yang sama dan tujuan yang sama bagi syarikat Nature Sense Sdn. Bhd. pada 19 Jun 2015, kira-kira pukul 1.18 petang.


Dalam pada itu, Mohd. Khairi turut berdepan dengan 18 pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001 membabitkan jumlah keseluruhan RM9.2 juta.


Kesalahan berkenaan dilakukan di beberapa buah bank di sekitar negeri ini antara 18 Disember 2015 sehingga 1 Mac 2017.


Dalam pertuduhan kedua membabitkan isteri Mohd Khairi, Noorashikin yang juga seorang Pengarah Firas Rizqi Resources dan Ilham Rizqi Resources berdepan lima pertuduhan membabitkan 4(1)(a) dan 4(1)(b) AMLA 2001 membabitkan jumlah keseluruhan RM2.5 juta.


Kesalahan terbabit dilakukan di tiga bank sekitar Jitra, di sini antara 7 April 2016 hingga 14 November 2016.


Sementara itu dalam pertuduhan ketiga, Huziana didakwa menerima wang berjumlah RM500,000 dari akaun Bank Rakyat milik Hassan Muhammad Yusuf @ Daud di Bank Rakyat cawangan Alor Setar, Jalan Langgar pada 9 Jun 2016 dan bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut 4(1)(a) AMLA 2001.


Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, A. Hafiizh Abu Bakar manakala Mohd Khairi serta Noorashikin diwakili peguam Ridha Abdah Subri dan Huziana tidak diwakili peguam.


Mahkamah memerintahkan wang jaminan Mohd. Khairi sebanyak RM1.6 juta serta Noorashikin dan Huziana masing-masing RM200,000 dengan seorang penjamin manakala pasport diserahkan.


Noorashikin dan Huziana masing-masing menjelaskan wang jaminan itu. 


Mahkamah menetapkan 12 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula dan penyerahan dokumen.-UTUSAN ONLINE