Datuk Azmi Nordin, 58, yang kini bertugas sebagai Pengarah Bahagian Silvikultur dan Pemeliharaan Biologi Hutan, Pejabat Hutan Semenanjung mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa menerima suapan RM30,000 pada 3 Mac 2013 melalui akaun Malayan Banking Berhad milik Azhar Nordin daripada kontraktor balak, Yew Keong Fah untuk memperoleh kelulusan membalak kepada syarikat Ciri Bina Machinery & Hardware Sdn. Bhd. di Kompartmen 36b dan 40a, Hutan Simpan Hulu Terengganu, Mukim Tersat, Daerah Hulu Terengganu.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, tertuduh didakwa menerima suapan RM20,000 pada 16 Jun 2013 dan RM10,000 pada 13 Ogos tahun sama daripada Keong Fah melalui akaun Malayan Banking Berhad milik Syarikat D Laman Kulturakebunan bagi mendapat kelulusan membalak di tempat yang sama.

Ketiga-tiga pertuduhan itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Azmi diikat jamin RM15,000 de­ngan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan serta mengarahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan sementara menunggu sebutan semula kes pada 8 Mei ini.