Hakim Zanol Rashid Hussain menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Yaakob Hassan, 48, setelah prosiding rayuannya hari ini.

Pada 8 Mac lepas, mahkamah memutuskan Yaakob bersalah selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan di akhir kes pembelaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), A. Hafiizh Abu Bakar sementara tertuduh diwakili peguam, Paramjit Singh.

Mengikut kertas pertuduhan, Yaakob didakwa meminta suapan sebanyak RM10,000 daripada Jamat Harun menerusi panggilan telefon semasa Jamat berada di rumahnya di Kampung Kilim, Mukim Ayer Hangat di Langkawi dekat sini kira-kira pukul 7.46 malam, 13 Oktober 2012.

Bagi pertuduhan itu, Yaakob dijatuhkan hukuman 20 bulan penjara dan didenda RM50,000 atau penjara 10 bulan jika gagal dibayar.

Dalam pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa menerima rasuah sebanyak RM2,000 daripada Ahmad Ridzwan Jamat atas dorongan sama.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 20 bulan dan denda RM10,000 atau penjara dua bulan bagi pertuduhan berkenaan.

Hukuman penjara dijalankan serentak sementara tertuduh diperintah membayar denda tersebut hari ini.

Bagi dua kesalahan itu, Yaakob dituduh mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi. - UTUSAN ONLINE