Shaharil Hisham Abdul Razak, 57, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di depan Hakim Datuk Habibah Mohamed Yusof.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang bertugas sebagai Pegawai Staf 1 (Ketua Zon) di Pejabat Senggaraan Zon Timur, Kem Batu 3, Temerloh dekat sini didakwa menerima suapan RM20,794 bermula 17 November 2015 hingga 22 Disember 2016 di Malayan Banking Berhad, Cawangan Bukit Ubi di sini.

Tertuduh juga didakwa menyalahgunakan kuasa dengan mencadangkan supaya syarikat milik keluarganya, Abd. Razak Am Enterprise untuk menjalankan kerja penyelenggaraan di 11 Skuadron RAJD Mekanis, Temeeloh dan Kolej Perisikan Angkatan Tentera Malaysia, Mentakab pada 20 November 2015 dan 12 April 2016 yang bernilai RM75,000.

Habibah menetapkan jaminan sebanyak RM14,000 dengan seorang penjamin dan 4 Julai ini sebagai sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamry manakala tertuduh diwakili Aiman As’ad Mohd. Ghani. - UTUSAN ONLINE