Bagaimanapun jelas Inspektor Mohd. Suffian Abdul Rashid, hanya dua daripada mereka dikaitkan dengan penggubahan wang haram.

Beliau yang merupakan saksi ke-33 pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian memberitahu, kedua-dua lelaki itu dikenali sebagai Ku Hamid Ku Musa dan Ariffin Abdullah Ali.

Mohd. Suffian yang merupakan pegawai penyiasat di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman memberitahu, hasil siasatan pihaknya mendapati terdapat transaksi membabitkan akaun bank milik kedua-dua lelaki terbabit.

“Hasil siasatan mendapati, seorang warga Myanmar telah mendepositkan wang sebanyak RM4,000 ke dalam akaun Ku Hamid pada 20 Oktober 2015 untuk pembebasan anak saudaranya di kem berkenaan,” katanya dalam prosiding hari ini.

Pegawai penyiasat itu memberitahu, siasatan bagaimanapun mendapati hanya satu transaksi berkaitan migran membabitkan lelaki kelahiran Myanmar itu.

Sementara Ariffin pula jelasnya, siasatan mendapati terdapat dua kemasukan ke akaun bank milik lelaki berkenaan berjumlah RM5,800.

“Wang itu telah didepositkan oleh seorang (etnik) Rohingya untuk pembebasan pakciknya di kem tahanan Thailand,” jelasnya.

Ahli panel RCI dimaklumkan bahawa lelaki etnik Rohingya itu dikenali sebagai Zidul Islam, merupakan seorang daripada 38 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan di kem Wang Kelian.

Menurut Mohd. Suffian lagi, pihaknya telah menyita dan melucut hak harta berjumlah RM41,000 daripada kedua-dua lelaki terbabit termasuk sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Triton.

Jelasnya, perintah menyita dan melucut hak harta terbabit telah dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah pada 7 Julai 2015.

Prosiding kemudiannya memanggil tiga lagi saksi termasuk Korporal Mat Ten daripada Batalion 3 Pasukan Gerakan Am, yang dipanggil semula untuk memberi keterangan.

Prosiding yang dijalankan di hadapan tujuh ahli RCI dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria bagaimanapun dijalankan secara tertutup. Prosiding akan disambung semula pada 27 dan 28 Mei depan. - UTUSAN ONLINE